Thursday 10 October 2013

Peranan Keluarga Dalam Membentuk Semangat Patriotisme Dalam Kalangan Anak-Anak

     Pada era modenisasi ini,sama ada kita sedar atau tidak lantaran teralu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Masyarakat kini kian hilang nilai patriotisme dalam diri mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa nilai kemerdekaan itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit semata-mata? Kemerdekaan yang dikecapi oleh Bapa Kemerdekaan kita adalah sesuatu yang melibatkan banyak situasi yang pahit dan getir. Dengan bermulanya pertapakan Syarikat Hindia Timur Inggeris di Pulau Pinang,bermulalah zaman penjajahan Tanah Melayu oleh kuasa asing yang mentadbir negara kita hanya untuk membolot hasil bahan mentah demi kepentingan ekonomi mereka. Maka dalam meniti masa depan yang tidak menentu, perlulah kita berganding bahu mengambil langkah sederap untuk memastikan masyarakat kita pada hari ini mempunyai nilai patriotisme yang tinggi dalam diri mereka. Persoalannya, apakah cara yang paling efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bersifat patriotisme ini? Melentur buluh,biarlah dari rebungnya. Peribahasa tersebut mengajar kita supaya memastikan setiap anak watan di negara ini tahu akan sejarah kemerdekaan negara kita. Oleh itu, demi membangunkan generasi yang bersifat patriotik,maka keluarga perlulah mengambil perana yang sewajarnya.

     Bagai ketam mengajar anak berjalan betul. Itulah gambaran kebanyakan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka pada masa kini. Kebanyakan mereka hanya tahu mengarah,tetapi dalam masa yang sama,tidak mendidik. Seharusnya,setiap ibu bapa yang ingin mendidik anak-anak haruslah tahu bahawa anak-anak itu umpama kain putih,ibu bapalah yang mencorakkannya. Manusia bukanlah 'haiwan robotik' yang tidak mempunyai perasaan dan jiwa. Ibu bapa haruslah menyemai sifat patriotik dengan baik agar kanak-kanak ini dapat mengenali latar belakang negara kita. Perkara ini bukan hanya terletak pada bahu ibu bapa sahaja,malah setiap ahli keluarga yang lain seperti abang,kakak mahupun datuk atau nenek juga sepatutnya memainkan peranan masing-masing dengan menunjukkan suri teladan yang sewajarnya untuk memastikan mereka cinta akan tanah air mereka ini. Contohnya,kita bolehlah menggunakan pendekatan yang sesuai untuk menerapkan unsur patriotisme dalam diri anak-anak iaitu dengan cara mengibarkan bendera Jalur Gemilang,menyanyikan lagu kebangsaan dan pelbagai lagi cara yang lain yang sesuai. Impaknya. akan lahirlah generasi yang menjadi cerucuk utama pembangunan negara pada suatu hari nanti.

     Peranan ibu bapa dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak tidak berhenti begitu sahaja. Ibu bapa haruslah menyediakan kemudahan yang secukupnya kepada anak-anak agar mereka dapat belajar erti patriotisme yang sebenar.Misalnya,ibu bapa bolehlah membeli buku-buku sejarah ataupun menayangkan filem-filem yang berkaitan dengan sejarah untuk anak-anak mereka agar mereka dapat mengambil iktibar daripada sejarah yang berlaku di negara kita ini. Malangnya,kebanyakan ibu bapa pada era ini hanya mendambakan kejayaan anak-anak mereka tetapi tidak rela berkorban untuk mereka. Apakah mereka fikir bahawa kejayaan itu akan datang bergolek kepada mereka? Lihatlah betapa ceteknya fikiran kebanyakan ibu bapa hari ini. George Santayana,seorang ahli sejarah barat pernah berkata,"Sesiapa yang melupai sejarah,pasti akan mengulanginya". Oleh sebab itulah,kita perlu sedar bahawa bukan mudah untuk membina generasi yang akan memimpin negara ini pada masa akan datang. Ibu bapa sepatutnya meluaskan horizon pemikiran mereka untuk mendidik anak-anak dengan pelbagai cara agar anak-anak ini dapat diharapkan untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi matlamat rakyat Malaysia.

          Air yang dicincang tidak akan putus. Dua orang adik beradik yang bergaduh pasti akan berbaik semula. Umum mengetahui bahawa ikatan persaudaraan antara adik-beradik amat sukar untuk diputuskan. Bagi membuktikan perkara ini,contoh yang boleh diketengahkan ialah kita dapat lihat pada filem 3 Abdul yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Walaupun Abdul Wahub telah dikhianati oleh abang-abangnya sendiri,tetapi akhirnya dia dapat mengeratkan kembali hubungan persaudaraan antara mereka yang telah retak hanya disebabkan harta. Melalui contoh tersebut,kita dapat kaitkan dengan peranan abang atau kakak yang perlu memupuk semangat patriotik dalam kalangan adik-adik mereka. Peranan abang atau kakak ini sekiranya diperhalusi juga amat penting kerana adik-adik mereka ini mudah menerima apa-apa yang diberi oleh abang atau kakak kerana hubungan antara mereka yang rapat. Perkara ini jika diteruskan dapat mengelak daripada berlakunya aktiviti yang tidak sihat seperti yang pernah berlaku pada tahun 2012 iaitu beberapa orang belia sanggup membakar gambar pemimpin negara di Perhimpunan Bersih.

     Seterusnya,ibu bapa haruslah prihatin terhadap aktiviti anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa,mereka perlulah memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat yang boleh merosakkan imej negara. Pernah berlaku pada suatu ketika seorang pemuda sanggup menunjukkan punggungnya kepada gambar Perdana Menteri Malaysia. Lebih teruk lagi ada yang sanggup mengubah bendera Malaysia kepada bendera yang baru. Mereka inilah sebahagian daripada belia yang sewaktu kecilnya tidak diterapkan nilai patriotisme dalam diri mereka. Maka perlulah ibu bapa pada hari ini berfikiran luas untuk memastikan Malasyia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat sehingga Wawasan 2020 yang dirintis oleh Tun Dr. Mahathir dapat dikotakan.

Konklusinya,keluarga merupakan asas yang penting dalam memastikan anak-anak mereka memiliki sifat patriotisme yang tinggi. Tugas kita bukanlah untuk menghasilkan. Tetapi tugas kita adalah untuk mencuba,kerana dengan mencubalah kita akan mempelajari dan  menemukan kesempatan untuk menghasilkan generasi yang bersifat patriotisme.Orang cerdik pandai dahulu pernah berkata," Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan."Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang. Oleh itu,kita perlulah berusaha tanpa mengenal erti penat lelah demi mencipta generasi yang berjaya pada suatu hari nanti.